Mayat warga Myanmar jatuh sungai dijumpai - Utusan Malaysia

Mayat warga Myanmar jatuh sungai dijumpai

ANGGOTA Bomba kelihatan mengangkat mayat rakyat Myanmar yang ditemui dari bot untuk dibawa ke darat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI AMAN: Mayat lelaki warga Myanmar yang dilaporkan jatuh ke dalam Sungai Seterap Lingga, di sini pada Isnin lalu, ditemukan tidak sempurna pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, komander operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan mayat Thein Wai Maung dijumpai oleh orang kampung dan pasukan penyelamat pada jam 7:30 pagi tadi.

Katanya, mayat berkenaan ditemui kira-kira lima kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan jatuh.

“Keadaan jasad mangsa ketika ditemukan tidak sempurna, iaitu kedua-dua tangan dan kepala mangsa didapati hilang disyaki dibaham buaya,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada Isnin lalu, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman memaklumkan kejadian orang jatuh ke dalam Sungai Seterap Lingga.

Sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan pasukan Bomba dari BBP Sri Aman telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Menurut saksi kejadian, mangsa telah jatuh dari kapal Ketara 10 pada jam 10:50 pagi Isnin lalu.

Laporan mengenai kejadian berkenaan telah dibuat di IPD Sri Aman pada hari yang sama.

Agensi yang turut terlibat dalam SAR itu ialah Bomba Sri Aman, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Malaysia.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN