LANGKAWI: Mayat seorang nelayan warga Thailand ditemukan di dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar, di sini hari ini.
Mayat mangsa, Phanu Tarurak, 27, ditemukan penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari.
Bot milik nelayan tempatan itu dilaporkan karam di lokasi itu pada pukul 10.40 pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, mangsa disyaki terperangkap di dalam bot karam sebelum ditemukan oleh penyelam bebas.
“Mangsa ditemukan di dalam bilik jentera bot tersebut sebelum dibawa keluar oleh penyelam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan pengecaman mayat dilakukan oleh majikan sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat itu ditamatkan pada pukul 2 petang hari ini.
Dalam kejadian bot karam itu, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.
Kesemua mangsa berusia lingkungan 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.
Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan. – UTUSAN










