PONTIAN: Mangsa kebakaran di Kampung Duku, Jalan Johor di sini, menerima kurniaan peribadi dan sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.
Penyampaian sumbangan kepada mangsa, Mohd. Izwan Syah Ismail, 35, dibuat oleh Mejar Cina, Datuk David Wong dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian, Datuk Ng Sea Bu.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam kelmarin, rumah Mohd. Izwan hangus ketika dia keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan yang menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
“Ketika kejadian saya sedang bekerja sebelum dimaklumkan rumah saya musnah dalam kebakaran dan menyebabkan anak saya berusia sembilan tahun melecur di kedua-dua tapak kaki.
“Api marak terlalu cepat dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Tambah Mohd. Izwan, dia tidak menyangka akan menerima bantuan daripada Sultan Johor dan menjunjung kasih di atas kurniaan yang diberikan itu.
Katanya, sememangnya Sultan Ibrahim amat prihatin dengan kejadian menimpa rakyat.
Sementara itu, Komandan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Iqbal Raduan berkata, seramai 14 anggota termasuk dari BBP Pontian Baru terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.
Katanya, sebaik sahaja Pasukan Keluar Mencari (PKO) tiba, rumah jenis separuh kekal berukuran 20 kaki x 70 kaki itu telah terbakar dengan anggaran kemusnahan 50 peratus.
“Kebakaran telah berjaya dipadam sepenuhnya dan seorang kanak-kanak yang mengalami kecederaan telah dihantar menggunakan jentera EMRS ke hospital berhampiran,” jelasnya.