SHAH ALAM: Mangsa banjir di Selangor terutama di Pangsapuri TTDI Jaya, Bukit Jelutong di sini terus meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).
Seramai 52 Ketua Isi Rumah (KIR) di pangsapuri berkenaan yang pertama kali berhadapan bah pada Disember lepas itu mendakwa sehingga kini mereka hanya menerima bantuan rebat barangan bernilai RM500 melalui Program Bantuan Banjir Malaysia, pada Januari lalu.
Seorang mangsa banjir, Zalma Ishak, 51, berkata, lebih 30 ketua keluarga yang tinggal di tingkat bawah pangsapuri itu sudah pun menghantar borang kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling melalui wakil penduduk yang dilantik pada 27 Disember lalu.
“Lebih 20 penduduk pula menghantar borang secara sendiri ke PDT Petaling.
“Tetapi, sampai sekarang, saya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada agensi tersebut walaupun suami, Wan Omran Wan Mohamad pernah sekali ke PDT Petaling bagi bertanyakan status permohonan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, perkara itu amat mengecewakan kerana sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi membaiki kerosakan serta membeli kelengkapan rumah yang rosak akibat bah, tetapi masih belum mendapat bantuan dijanjikan.
Dia yang tinggal bersama tujuh orang anak di pangsapuri itu berharap Kerajaan Persekutuan dan Selangor dapat meluluskan segera permohonannya serta 51 KIR di pangsapuri tersebut, yang amat memerlukan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui terdapat kelewatan agihan bantuan banjir Keluarga Malaysia kerana memerlukan pengesahan ketua komuniti atau ketua kampung terlibat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula menyatakan terdapat pertindihan permohonan bantuan daripada mangsa banjir menyebabkan pegawai PDT di daerah Petaling dan Klang perlu meneliti setiap borang.
Seorang penduduk yang bertanggungjawab menghantar borang permohonan sebahagian penduduk pangsapuri itu, Akmal Farhan Abu Zaidi, 40, berkata, dia menghantar lebih 30 borang permohonan ke PDT Petaling pada 27 Disember lalu.
“Pegawai PDT memaklumkan pada saya bahawa mereka perlu ambil masa lama bagi membuat pengesahan kerana menerima permohonan yang begitu banyak daripada mangsa banjir di daerah Petaling.
“Saya memahami perkara itu namun amat kecewa kerana semua mangsa banjir di sini tidak mendapat maklum balas daripada pegawai pejabat itu, sedangkan ada mangsa banjir yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan pangsapuri ini sudah dapat bantuan,” jelasnya.
Oleh demikian, dia memohon ihsan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar untuk menggesa PDT Petaling mempercepatkan kelulusan permohonan bantuan daripada penduduk. – UTUSAN