KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyasarkan kutipan zakat di negeri ini mencecah RM215 juta tahun ini.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding RM210 juta sepanjang tahun lalu.
Kata beliau, kutipan zakat sepanjang 2020 pula adalah sebanyak RM202 juta.
“Insya-Allah tahun ini jumlah kutipan zakat yang kita sasarkan RM215 juta mampu dicapai walaupun pandemik Covid-19 telah mengganggu sektor ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Maik Bagi Tahun 2021 di sini semalam.
Kata Tengku Mohamad Rizam, sepanjang tahun lalu, segmen terbesar terimaan Maik adalah zakat pendapatan RM126 juta diikuti zakat perniagaan (RM39 juta) dan zakat wang simpanan (RM19 juta).
“Lain-lain zakat iaitu zakat pertanian dan padi, ternakan, saham, zakat emas dan perak, zakat qada serta zakat harta secara kumulatifnya berjumlah lebih RM 14 juta,” katanya.
Bagi perbelanjaan pula kata beliau, sebanyak RM170.7 juta dibelanjakan tahun lalu berbanding RM185.5 juta pada 2020 dengan penurunan sebanyak lapan peratus.
“Faktor terbesar pengurangan agihan ini adalah kerana program pemutihan penerima bantuan tetap bulanan.
“Sepanjang tahun lalu, seramai 2,761 orang asnaf dan fakir miskin telah terkeluar daripada kumpulan, termasuk mereka yang sudah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN