KUALA SELANGOR: Sebuah maahad tahfiz untuk muslimah memerlukan dana RM950,000 bagi pembinaan dewan asrama pelajar dan dua rumah guru di Sungai Gulang-Gulang di sini.
Menurut Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Mukhtary Lil Banat, Mohd.Faizal Mohd. Moktor, maahad tahfiz tersebut beroperasi sejak 2014 di rumah-rumah sewa sebelum dibuka di kawasan tersebut pada 2018.
“Akibat pandemik Covid-19 kerja pembinaan bangunan tahfiz bagi fasa seterusnya telah tergendala akibat kekangan kos. Buat masa ini kita hanya memulakan 10 peratus kerja pembinaan bangunan dan pembinaan seterusnya bergantung kepada dana.
“Oleh kerana peningkatan kos selepas pandemik Covid-19 kita berusaha mengumpul dana bagi memastikan bangunan ini dapat disiapkan. Kos bahan binaan yang meningkat menyebabkan kerja pembinaan tidak lancar,” katanya ketika ditemui di Sungai Gulang-Gulang hari ini.
Mohd. Faizal berkata, terdapat lebih daripada dua maahad tahfiz untuk pelajar lelaki di kawasan tersebut disebabkan itu beliau komited mewujudkan maahad tahfiz yang sempurna infrastrukturnya khusus untuk muslimah.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap syarikat korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat menyumbang wang tunai untuk melengkapkan pembinaan bangunan tahfiz muslimah tersebut.
“Buat masa ini kosnya masih belum mencukupi. Jika kita mempunyai bangunan yang besar kita boleh mengajar lebih ramai muslimah hingga 50 pelajar dalam satu-satu masa.
“Buat masa ini bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kita mempunyai 20 pelajar sahaja,” katanya.
Katanya lagi, maahad tahfiz tersebut dibina di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Rakyat 1101230643 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Al- Mukhtary Lil Banat.
Habis