Longkang tidak diselenggara punca banjir kilat - Utusan Malaysia

Longkang tidak diselenggara punca banjir kilat

SEORANG penduduk menunjukkan longkang yang tidak diselenggara sehingga dipenuhi rumput di jalan pintas antara Taman Semarak dan Padang Temusu, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk meminta pihak bertanggungjawab menyelenggara sistem perparitan di jalan pintas antara Taman Semarak dan Padang Temusu di sini, bagi mengelak berlaku kejadian banjir kilat di kawasan itu.

Keadaan longkang sepanjang 150 meter yang dipenuhi rumput dan sampah-sarap itu menyebabkan kerap berlaku banjir kilat di jalan tersebut setiap kali hujan lebat.

Penduduk Taman Semarak, Mohd. Radzi Shamsudin, 66, berkata, longkang tersebut tidak diselenggara dengan baik sejak lebih tiga tahun lalu.

“Keadaan ini menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah ke jalan setiap kali hujan lebat yang turut menyebabkan rumah penduduk berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir dimasuki air.

“Selain itu tanah dan batu di bahu jalan dibawa air menjadikan laluan itu berbahaya terutama kepada penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penduduk Kampung Padang Temusu, Halmi Abu Bakar, 51, pula berkata, dia hairan kerana longkang itu hanya dibina separuh jalan sahaja dan tidak berhubung ke parit utama.

“Longkang tersebut hanya dibina di hadapan Kuarters Institusi Pendidikan Sungai Pasir sahaja manakala sepanjang 200 meter ke parit utama langsung tiada longkang.

“Ini menyebabkan limpahan air memenuhi jalan kerana ketiadaan aliran yang sempurna sehingga menyukarkan kami melaluinya terutamanya ketika hujan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nursyafinaz Mohd. Radzi, 33, berharap pihak berkaitan segera menyelenggara longkang tersebut untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

“Sistem perparitan tersebut juga perlu lebih bersistem kerana didapati gagal berfungsi dengan baik,” tambahnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN