ALOR SETAR: Mayat seorang kru bot nelayan yang dilaporkan terjatuh ke laut di kedudukan 6.7 batu nautika, barat laut Kuala Kedah di sini kelmarin berjaya ditemukan hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat Mohd. Ayob Jalaluddin, 39, ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.7 batu nautika dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Katanya, pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai penemuan mayat yang tidak berbaju kira-kira pukul 1.10 tengah hari tadi.j
“Setibanya di lokasi, mayat tersebut dibawa naik ke bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia sebelum dipindahkan ke bot aluminium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Jeti Nelayan Kuala Kuar dekat sini.
“Jasad mangsa kemudiannya disahkan waris sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan mengenai kehilangan kru bot nelayan itu yang dipercayai terjatuh ketika sedang menangguk siput bersama seorang lagi individu kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.
Menurut beliau, usaha mengesan mangsa turut disertai oleh Pasukan Polis Marin, bomba, APM serta beberapa bot nelayan tempatan.–UTUSAN










