KLANG: Perbuatan jijik seorang lelaki disyaki mencabul pelajar perempuan yang dikenalinya menerusi media sosial sejak tahun lalu memakan diri apabila dicekup polis, baru-baru ini.
Selain itu, suspek warga tempatan berusia 21 tahun dipercayai mengugut untuk menyebarkan video dan gambar aib mangsa berusia 16 tahun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek menerusi laman Instagram di rumah neneknya di Telok Gadong di sini, Mei tahun lalu.

Katanya, remaja perempuan itu kemudian menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan sehingga 9 Februari lalu.
“Sepanjang berkenalan, mangsa mendakwa dipaksa suspek membuat panggilan video dalam keadaan bogel. Mereka dikatakan sudah bertemu kira-kira enam kali dan tubuh mangsa sering kali disentuh lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, mangsa yang tidak tahan dengan sikap suspek mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka.
“Namun, ia dicuba dihalang suspek yang mengugut untuk menyebarkan video dan gambar aib mangsa,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menerusi hasil maklumat berjaya memberkas suspek di Jalan Kapar di sini, kira-kira jam 10.40 malam, Jumaat lalu.
“Lelaki itu mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (a) dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – UTUSAN