lebih-800-tunai-umrah-sehari-sop-baharu-mulai-14-februari

Lebih 800 tunai umrah sehari, SOP baharu mulai 14 Februari

jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah perlu mematuhi SOP baharu mulai 14 Februari ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua jemaah umrah dimohon memberi kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selepas kerajaan membenarkan semula perjalanan ibadat itu bermula kelmarin.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Arab Saudi memaklumkan, jemaah luar yang tiba untuk menunaikan umrah tidak perlu lagi mengemukakan bukti status vaksinasi. Sebaliknya, mereka hanya perlu kemukakan bukti negatif ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) atau ujian pantas antigen.

Sampel bagi kedua-dua ujian itu perlu diambil dalam masa 48 jam dari tarikh pelepasan ke Arab Saudi. Polisi ini berkuatkuasa mulai 9 Februari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP tidak boleh diambil mudah terutama soal pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal walaupun diakui agak sukar dilakukan dalam perkumpulan ramai ketika melak­sanakan ibadat itu.

Kata Nancy, jemaah umrah yang bakal ke tanah suci adalah sekitar 800 hingga 1,000 orang sehari dan kumpulan pertama yang berlepas ke Arab Saudi pada hari pertama kelmarin selepas sebulan ditangguhkan, direkodkan lebih 900 orang.

“Masing-masing ada tanggungjawab menjaga diri daripada terdedah jangkitan wabak terutama varian Omicron ketika ini agar virus itu tidak dibawa pulang ke negara ini dan merebak kepada orang lain.

“Jemaah umrah yang berangkat mulai 8 Februari lalu adalah tertakluk kepada SOP terkini sehingga 14 Februari ini di mana SOP baharu akan berkuat kuasa. Ini bermakna apabila mereka pulang nanti akan mengikut SOP baharu,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Kementerian Pe­lancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan pelaksanaan SOP baharu umrah yang akan dikuatkuasakan mulai Isnin ini, syarikat pengendali umrah perlu melantik Person In Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas.

Keperluan itu bagi mengawal atau mengelola jemaah sepanjang perjalanan termasuk semasa di lapangan terbang atau Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.

Bagi kumpulan yang kurang daripada 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA, manakala tatacara pengurusan dan bagaimana untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah.

Selain itu, SOP yang dipersetujui Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 pada 8 Februari lalu turut mewajibkan dos penggalak serta membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

Bagaimanapun, jemaah dibenarkan menjalani kua­rantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

Selain itu, SOP berkenaan turut menggariskan, jemaah umrah yang melaksanakan perjalanan mengerjakan ibadah tersebut di dalam tempoh 8 Februari hingga 13 Februari boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini.

Penggunaan SOP baharu akan mula diterima pakai sebaik sahaja jemaah pulang ke Malaysia termasuk menja­lani kuarantin di rumah secara automatik kecuali yang memilih untuk kuarantin di pusat kua­rantin swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×