GEORGETOWN: Sebanyak 49 kompaun berjumlah RM49,000 dikeluarkan hasil 167 pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan, lokasi pelancongan dan lain-lagi lagi sepanjang Januari lalu di daerah Timur Laut di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santung berkata, pemeriksaan itu merupakan kerjasama pasukan petugas khas antara pihak polis, Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi bagi memastikan orang ramai sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Katanya, antara kesalahan yang direkodkan ialah 27 kompaun membabitkan mereka yang tiada penjarakan sosial; 17 kompaun melibatkan mereka yang gagal mengimbas daftar masuk, tidak memakai pelitup muka (satu) dan melakukan aktiviti terlarang (empat).
“Menerusi pemantauan, kita mendapati orang ramai mula selesa apabila berlaku penurunan kes sebelum ini, jadi mereka leka dan mengabaikan SOP pencegahan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Semalam, kes Covid-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan iaitu 11,034 kes manakala Pulau Pinang merekodkan 693 kes.
Soffian berkata, polis tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP.
“Peniaga juga perlu memainkan peranan penting dengan mengehadkan jumlah pelanggan ke premis masing-masing sekiranya jumlahnya terlalu ramai.
“Pengunjung juga dinasihatkan mengelak berada di kawasan-kawasan yang sesak dan sentiasa patuh dengan SOP,” katanya.
Tambahnya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 terutama membabitkan varian Omicron. -UTUSAN ONLINE










