Khairuddin digugur Majlis Syura sebab bukan lagi AJK Pas Pusat

Khairuddin digugur Majlis Syura sebab bukan lagi AJK Pas Pusat

TUAN IBRAHIM TUAN MAN TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemecatan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama disebabkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bukan lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengguguran Mohd. Khairuddin dibuat berikutan pelantikannya itu adalah di atas kapasiti bagi mewakili AJK Pas Pusat dalam Majlis Syu­ra Ulama.

“Perkara itu sebenarnya tak ada isu sangat kerana Mohd. Khairuddin mewakili AJK Pas Pusat dalam Majlis Syura Ulama, jadi apabila digugurkan dari AJK Pas Pusat, maka tak boleh mewakilinya dalam majlis itu.

“Itu isunya kerana Mohd. Khairuddin duduk (dalam Majlis Syura Ulama) atas kapasiti mewakili AJK Pas Pusat.

“(Walaupun) pemecatan boleh dibuat oleh Majlis Syura Ulama, tetapi apabila Mohd. Khairuddin sudah tidak menjadi AJK Pas Pusat, maka beliau digugurkan dan AJK Pas Pusat menamakan calon baharu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Kelmarin, media melaporkan, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu sekali lagi kehilangan jawatan tertinggi Pas apabila parti memutuskan memecatnya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama berkuat kuasa Selasa lepas.

Pemecatan itu berlaku kira-kira sebulan selepas beliau di­singkirkan daripada jawatan AJK Pas pada 12 Januari lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas Pusat susulan isu-isu disiplin melibatkan pemimpin ber­kenaan.

Ditanya berhubung isu-isu disiplin melibatkan Mohd. Khairuddin, Tuan Ibrahim berkata, isu disiplin itu adalah melibatkan sewaktu Mohd. Khairuddin digugurkan daripada AJK Pas Pusat sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air itu hanya menyifatkannya sebagai isu disiplin lama yang berkaitan dengan masalah dalaman parti.

“Isu disiplin itu adalah waktu Mohd. Khairuddin digugurkan dalam AJK Pas Pusat, bukan (isu disiplin) pada masa sekarang. Sekarang tak ada isu disiplin baharu.

“Tak ada apa sangat, isu disiplin lama berkaitan masalah dalaman,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN