Kestabilan politik wujud melalui kesatuan - Utusan Malaysia

Kestabilan politik wujud melalui kesatuan

MOHD. AZAM ABD. SAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kestabilan politik dalam negara ini hanya dapat diwujudkan melalui kesatuan semua pihak, tanpa ada sikap mendominasi atau menguasai kebersamaan yang telah dimeterai antara satu sama lain.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, dalam masa sama, semua pihak tidak sepatutnya melakukan tindakan bersifat ekstrem, melampau atau menyeleweng dari kerangka Perlembagaan dan keluhuran undang-undang, hingga merugikan rakyat serta negara.

Katanya, tindakan sedemikian menjadi antara faktor mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebelum ini, terutamanya menerusi dominasi DAP serta beberapa tindakan ekstrem yang menakutkan rakyat.

“Disebabkan itu, pemimpin hari ini perlu lebih fokus bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat menerusi mandat diberikan, hingga tamat penggal.

“Dan bukannya menimbulkan keresahan mahu pun suasana politik tegang dengan mengisytiharkan Pilihan Raya Negeri (PRN), lalu bertanding bersendirian meninggalkan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, model muafakat politik di Kedah sewajarnya dicontohi oleh semua negeri kerana dilaksanakan secara terbuka tanpa menzalimi pihak-pihak lain.

“Walaupun UMNO hanya memiliki dua kerusi mewakili BN di Kedah, tetapi jumlah sedikit ini tidak pernah diperkecilkan. Seorang daripadanya dilantik menjadi exco manakala agihan bagi jawatan di peringkat Ahli Majlis serta Jawatankuasa Pembangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), turut dilaksanakan.

“Keterbukaan ini menjadi bukti ketelusan kerjasama yang memacu pembangunan Kedah tanpa ada hiruk-pikuk politik. Semua itu perlu menjadi model untuk negeri lain mewujudkan muafakat sama, tanpa perlu ada cubaan meracuni mahu pun mengadu domba secara salah,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengajak semua pihak agar sama-sama ‘duduk’ di atas paksi kejujuran, benar dan matang demi kepentingan rakyat yang berdepan pelbagai cabaran kini.

“Itu langkah yang perlu diambil dan bukannya terus membina salah faham serta menjadikan hasrat penyatuan dan perpaduan kian berkecamuk,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN