Kertas kerja jadi syarat kahwin - Utusan Malaysia

Kertas kerja jadi syarat kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sering terlibat sama dalam program anjuran universiti akhirnya menerbitkan bibit-bibit cinta dalam hati Mohamad Izran Iskandar Rusli terhadap Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin.

Setelah hampir enam tahun memendam rasa, hanya ketika hujung semester terakhir Izran nekad untuk meluahkan isi hati kepada wanita idamannya.

Namun, ternyata tiada laluan mudah bagi Izran untuk memiliki penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu.

Banyak dugaan dan cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang tempoh ‘percubaan’ cinta yang dianggap sebagai satu kenangan manis oleh Izran.

Kemuncak percubaan itu menyaksikan Izran diminta menyediakan satu kertas kerja yang lengkap untuk menyatakan hasrat dan objektif mengapa dia ingin menikahi Shafiqah.

Meskipun kedengaran jengkel, namun bagi anak kelahiran Johor itu, permintaan Shafiqah masih boleh diterima akal dan ia bagaikan cabaran yang perlu disahut bagi membuktikan keikhlasan cintanya pada si dia.

“Bila Shafiqah minta saya untuk siapkan kertas kerja kahwin saya turutkan sahaja kerana saya tahu dia hanya mahu menguji kesabaran saya bersama dia.

“Seminggu juga saya ambil masa untuk siapkan kertas kerja seperti yang diminta.

“Memang sudah terbiasa menyediakan kertas kerja sebelum ini kerana banyak terlibat dalam program-program universiti, namun kertas kerja istimewa ini terasa agak rumit sebab objektif dan permasalahannya perlu tulus dari hati,” katanya tertawa.

Bagi Syafiqah pula, permintaannya itu bukanlah untuk mengada-ngada.

Sebaliknya, dia hanya mahu melihat sejauh mana keikhlasan dan kesabaran si jejaka untuk memperisterikannya.

Biarpun sudah saling mengenali sejak sekian lama sebagai rakan sekuliah, namun ia bukan alasan untuk Shafiqah menerima Izran begitu sahaja.

“Memang sudah kenal sejak dari zaman diploma tapi hanya sebagai kawan biasa sahaja. Kami jadi rapat pun sebab banyak terlibat dalam program fakulti dan universiti.

“Malah, kami juga selalu digandingkan bersama. Tapi cuma setakat itu sahaja. Jadi, bila Izran tiba-tiba luahkan hasrat untuk melamar ketika kami sedang menjalani latihan industri, saya benar-benar terkejut.

“Disebabkan itu saya mengambil masa agak lama untuk memberi kata putus kepada Izran. Saya buat keputusan beri ujian kepada dia untuk siapkan kertas kerja macam kami selalu buat masa sertai program. Saya minta dia sertakan objektif dan sebab dia nak kahwin,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Mengimbas kembali saat menerima kertas kerja kahwin daripada Izran, Syafiqah tertawa sendirian.

Dia sendiri tidak menyangka Izran berjaya menghantar kertas kerja yang lengkap itu kepadanya seperti diminta.

“Kelakar juga bila ingat semula sebab dalam kertas kerja itu Izran tulis dia sebagai pengarah program dan saya pula timbalan pengarah program.

“Tapi yang membuatkan saya terbuka hati untuk menerima dia adalah apabila membaca bahagian perancangan lepas berkahwin. Saya nampak dia ada perancangan masa depan yang baik bersama saya, itu membuatkan saya terharu,” jelasnya.

Benarlah kata orang, kalau dah jodoh tidak akan ke mana. Tanggal 22 Januari 2022 menjadi saksi termeterai janji antara dua hati.

Pasangan sejoli berusia 26 tahun itu selamat bergelar suami isteri dalam majlis ringkas yang diadakan di Semenyih, Selangor.

BERSAING ANUGERAH TERBAIK

Sehari selepas diijabkabulkan, pasangan tersebut terus bergegas ke Terengganu bagi menghadiri majlis konvokesyen mereka di Unisza.

Lebih manis, Shafiqah yang masih merah inai di jari menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Pelajaran Diraja Unisza atas kecemerlangannya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.

Kata gadis asal Seri Kembangan, Selangor itu, dia sama sekali tidak menyangka terpilih untuk menyandang gelaran berkenaan.

“Sepanjang zaman belajar, saya memang suka aktif dan melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarelawan. Dalam masa yang sama saya tetap fokus dan komited dengan akademik.

“Mungkin kriteria seperti itu yang membuatkan mereka memilih saya untuk gelaran berkenaan. Saya anggap ini sebagai rezeki saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Shafiqah berkata dia bersaing bersama suaminya, Izran untuk anugerah berkenaan kerana fakulti mencalonkan nama mereka berdua.

Mereka dicalonkan untuk dua anugerah iaitu Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Terbaik Fakulti.

“Kami sama-sama aktif ketika belajar, jadi nama kami tercalon untuk kedua-dua anugerah berkenaan. Kami bersaing sesama sendiri dan ramai lagi siswa dari fakulti lain.

“Sebenarnya saya berdoa yang kami berdua akan mendapat salah satu anugerah itu. Alhamdulillah, nampaknya rezeki memihak pada kami. Saya mendapat Anugerah Pelajaran Diraja manakala suami pula mendapat Anugerah Terbaik Fakulti,” ujarnya lagi.

Bagi Izran pula, dia bersyukur atas kejayaan yang diraih oleh isteri.

“Saya tahu dia layak untuk anugerah itu. Dia sangat aktif dan suka membuat kerja-kerja sukarelawan ketika zaman belajar.

“Malah, itu yang membuat saya jatuh hati padanya. Dia sangat baik dan suka membantu,” jelas Izran.

Pasangan sama cantik sama padan ini mengharapkan perkahwinan yang dibina akan berkekalan selamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×