PASIR PUTEH: “Jangan salahkan kerajaan jika kita terpaksa ambil tindakan drastik yang boleh menyekat rezeki pemain industri sehingga mereka mungkin gulung tikar.”
Demikian amaran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kepada mana-mana pihak yang dikatakan semakin ligat cuba bermain harga sehingga menjejaskan bekalan ayam di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, antara tindakan drastik itu ialah menggerakkan pelbagai agensi pertanian supaya menternak sendiri ayam daging dan penelur.
“Saya memberi amaran kepada pemain industri jangan ‘mencaturkan’ harga ayam dan telur sehingga bekalannya jadi terumbang-ambing. Kita sudah menerima pelbagai laporan berkaitan hal ini.
“Setakat ini kita masih bertoleransi dan cuba selesaikan isu ini sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jersi Tok Janggut Warrior Football Club (TJWFC) di Jeram Mengaji, di sini.
Baru-baru ini, harga ayam dilaporkan semakin tinggi manakala bekalannya, sama ada daging atau telur pula dilaporkan berkurangan sehingga gagal memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Mengulas lanjut isu harga dan bekalan ayam serta telur yang kian meruncing, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, kerajaan sudah melaksanakan beberapa langkah bagi menyelesaikan isu itu.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan meluluskan permit import ayam dari luar bagi membolehkan individu atau syarikat tertentu mengimport ayam untuk pasaran domestik dengan harga lebih rendah,” katanya.
Terdahulu dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripudin Tuan Ismail melancarkan kempen Satu Rumah Satu Jersi sebagai usaha membantu menambah sumber kewangan TJWFC.- UTUSAN ONLINE











