Kelantan lemah kawal sumber hutan - Utusan Malaysia

Kelantan lemah kawal sumber hutan

Meor Razak Meor Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abdul Samah bahawa pembalakan bagus untuk harimau disifatkan tidak berasas selain mempunyai niat untuk menyembunyikan atau mengalih perhatian masyarakat umum terhadap isu sebenar.

Aktivis alam sekitar, Meor Razak Meor Abdul Rahman bISUdalam kawasan hutan simpanan kekal (HSK) serta pengubahan guna tanah lain untuk kegiatan perlombongan.

Menurutnya, berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan, didapati pelaksanaan projek ladang monokultur dan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK dilakukan tanpa kawalan walaupun telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pelaksanaan projek ladang monokultur dan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan (pembalakan) secara tebang habis.

“Hampir 28 peratus daripada HSK di Kelantan telah dizonkan sebagai zon pembangunan ladang hutan dan peratusan tersebut tidak termasuk keluasan untuk tujuan perlombongan yang dilakukan dalam HSK.

“Justeru, kenyataan Abdul Khalim bahawa Kelantan mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan mematuhi Pensijilan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) dibawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) adalah sebaliknya dan boleh dipersoal,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambah Meor Razak, pensijilan untuk negeri itu telah digantung sejak 2016 sehingga kini disebabkan mengusahasil melebihi kuota CTT.

“Pengantungan pensijilan di bawah MTCS adalah salah satu petunjuk bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus dan mengusahasil sumber hutan secara mampan malah gagal menambah baik Permintaan Langkah Pembetulan yang dikendali oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, masyarakat tidak mempersoal kegiatan pengusahasilan dilakukan secara sah atau tidak malah tidak juga menafikan hasil hutan sebagai pendapatan negeri tetapi tidak boleh menerima kegiatan pengusahasilan dieksploitasi secara rakus.

“Pengusahasilan secara tebang habis untuk tujuan pelaksanaan ladang monokultur dan perlombongan berskala besar dalam kawasan HSK menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

“Malah terdapat juga kawasan pelaksanaan ladang monokultur di Kelantan merupakan sebahagian daripada rangkaian ekologi central forest spine (CFS) yang sepatutnya dipelihara sebagai koridor dan laluan hidupan liar di antara kompleks hutan yang terpisah.

“Kerajaan negeri harus memahami bahawa apabila kawasan rangkaian ekologi CFS yang dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dimusnahkan dan dilakukan kegiatan selain guna tanah hutan akan memberi impak terhadap ekosistem persekitaran,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN