LANGKAWI: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di kepala akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Persiaran Putra, Kuah di sini hari ini.
Ketua Zon Langkawi, Penguasa Bomba, Mohd. Fadzullah Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut melalui orang awam yang hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra yang terletak berhadapan dengan bangunan tersebut.
“Pegawai Operasi telah mengarahkan enam orang anggota dari BBP Persiaran Putra dan BBP Langkawi bersama jentera ke lokasi kejadian.
“Setelah tiba di lokasi, anggota bertugas memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berusia 12 tahun itu mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan lanjut.