Kamarulzaman sudah sedar, mahu pulang ke Malaysia - Utusan Malaysia

Kamarulzaman sudah sedar, mahu pulang ke Malaysia

KEADAAN Kamarulzaman Mohd. Fauzi@Jazuli yang sudah sedarkan diri dan boleh berinteraksi sejak seminggu yang lalu di sebuah hospital di Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Warga Malaysia, Kamarulzaman Mohd. Fauzi@Jazuli, 50, yang koma di sebuah hospital di Korea Selatan sudah sedarkan diri dan boleh berinteraksi sejak seminggu lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anaknya, Muhammad Zafifi, 28, berkata, khabar gembira itu disampaikan oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang menjaga Kamarulzaman selama berada di hospital tersebut.

“Perasaan kami bercampur baur antara sedih dan gembira. Namun, kami bersyukur kerana ayah sudah sedar.

“Cuma, bahagian badan kanan ayah yang masih lumpuh kerana strok, tapi ayah sudah boleh bercakap walaupun pelat sedikit dan perlu membaca pergerakan mulutnya untuk faham apa yang dia cakap,” katanya di sini semalam.

Muhammad Zafifi berkata, dia sekeluarga berhasrat membawa pulang bapanya itu ke Malaysia secepat yang mungkin.

“Kami sedang berusaha untuk membawa balik ayah kerana semakin lama ayah di sana, semakin tinggi kos perubatan. Sekarang pun sudah mencecah lebih kurang RM98,642.

“Sekarang pun kami dalam usaha untuk menempah tiket penerbangan, namun, terbatas kerana musim pandemik yang melanda menyebabkan banyak prosedur yang harus diikuti,” katanya.

Menurutnya lagi, dia memerlukan sekitar RM30,000 kos untuk membawa pulang ayahnya itu ke tanah air.

“Setakat ini, jumlah sumbangan yang terkumpul sekitar RM100,000. Kami bimbang sekiranya ayah lebih lama berada di sana, kos akan meningkat,” katanya.

Muhammad Zafifi bagaimanapun merakamkan setinggi penghargaan buat rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan dan mendoakan kesihatan ayahnya.

“Berkat doa rakyat Malaysia, Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT, ayah sedar dari koma dan ingatannya pun masih kuat seperti sebelum ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Zafifi di talian 0148101377. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN