Kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri… - Ahmad Iqbal Zulkefli - Utusan Malaysia

Kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri… – Ahmad Iqbal Zulkefli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli meluahkan rasa kecewa dan mengakui persembahannya di pentas Big Stage 2022, malam semalam, kurang memuaskan.

Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Hujan itu memuat naik satu video semasa raptai minggu pertama program realiti tersebut.

Menurut Iqbal, dia menerima dengan hati terbuka markah yang diberikan oleh para juri dan turut bersetuju dengan kata-kata warganet berhubung nyanyiannya, semalam.

“Sampai rumah, saya muntah kerana terlalu banyak berfikir dan kecewa dengan persembahan sendiri. Waktu menyanyi di pentas, tidak dapat kesan suara nyanyian saya seteruk yang terpapar di televisyen tadi (semalam).

“Saya terima sepenuhnya markah juri berikan. Apa yang netizen katakan nyanyian saya sangat rosak, saya sendiri pun bersetuju.

“Saya rasa bersalah kepada pihak Astro dan semua yang telah berikan saya peluang. Maafkan saya cikgu jika ini mengecewakan,” katanya di Instagram.

Iqbal bagaimanapun meminta jasa baik semua agar memberikan dirinya sedikit pertimbangan sebagai salah seorang peserta rancangan realiti itu tersebut.

Mengulas lanjut, dia memaklumkan bekas majikannya yang juga usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida tidak mengetahui yang dirinya adalah salah seorang peserta Big Stage musim keempat.

“Namun, mohon jasa baik semua berikan sedikit pertimbangan untuk saya yang bukanlah seorang terdidik sebagai seorang penyanyi apatah lagi di pentas sehebat itu.

“Segalanya kejutan. Tidak sempat latihan seperti peserta lain. Saya tidak tahu Datuk Seri Vida ada di program ini dan dia pun langsung tidak mengetahui saya akan sertai Big Stage.

Tambahnya lagi, dia akan menarik diri serta merta pada minggu hadapan walaupun tiada penyingkiran seandainya persembahan nyanyiannya masih tidak memuaskan.

“Saya tinggalkan segala hal lain demi Big Stage. Pada awalnya, berkali-kali saya menolak tawaran untuk sertai. Namun saya fikir, peluang ini sekali sahaja seumur hidup.

“Saya memohon kembali kepada Astro supaya berikan izin untuk sertai juga. Berikan saya peluang untuk belajar.

“Tidak mengharapkan kemenangan, seminggu sahaja lagi. Kalau terlalu buruk, saya sendiri akan menarik diri walaupun tiada penyingkiran di minggu hadapan,” ujarnya panjang.

Semalam, pihak produksi memberi kejutan dengan mengumumkan Iqbal sebagai peserta ke-12 yang menyertai Big Stage musim keempat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN