KULAI: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menawarkan dirinya untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Nie Ching yang juga Timbalan Pengerusi DAP Johor itu turut memberitahu, ini kerana kepimpinan DAP di peringkat pusat sebelum ini berpandangan tiada masalah sekiranya ahli Parlimen dicalonkan dalam PRN Johor.
Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, perkara tersebut diserahkan kepada kelompok tertinggi pusat untuk menentukan.
“Sebelum ini, kepimpinan DAP berpandangan ahli Parlimen boleh dicalonkan sebagai calon dalam PRN Johor ini. Tetapi setakat ini, masih belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu. Saya tetap bersedia mengikut arahan parti sekiranya diminta untuk bertanding.
“Jika pusat merasakan ada keperluan untuk saya bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, saya akan ikut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja baik pulih infrastruktur awam di Taman Eko Rimba, Gunung Pulai di sini hari ini.
Baru-baru ini timbul khabar angin bahawa Nie Ching dilaporkan akan bertanding di kerusi DUN Senai menggantikan penyandang kerusi tersebut, Tee Boon Tsong.
Boon Tsong memenangi kerusi DUN Senai dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Shen Poh Kuan dengan majoriti 18,902 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Nie Ching yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya DAP Johor memaklumkan, senarai nama calon kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan bagi baki kerusi-kerusi yang belum diumumkan parti itu.
“Senarai calon penuh daripada DAP yang akan bertanding mewakili PH pada PRN Johor sudah berada di peringkat akhir, mungkin minggu depan akan diumumkan sepenuhnya,” jelasnya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan empat calon daripada parti itu bagi kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram.