PUTRAJAYA: Kesemua tuntutan yang dibangkitkan kumpulan kakitangan pembersihan hospital akan dilihat satu persatu.
Itu komitmen disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas menerima memorandum daripada ahli-ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas) berhubung soal kebajikan pekerja sokongan perkhidmatan kesihatan.
Khairy berkata, pihaknya merancang pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi pembersihan hospital dalam masa terdekat untuk mengetahui lebih lanjut masalah dihadapi kakitangan mereka.
Katanya, kebajikan kakitangan pembersihan menjadi tanggungjawab kementeriannya walaupun mereka bekerja dengan syarikat konsesi memandangkan syarikat berkenaan juga memperoleh konsesi daripada Kementerian ini.
“Saya telah menerima satu memorandum berkenaan pekerja sokongan di hospital-hospital kerajaan yang dikendalikan oleh syarikat konsesi dan kita telah mengadakan satu perbincangan komprehensif di mana semua perwakilan dapat menyuarakan pandangan masing-masing.
“Kesemua tuntutan yang dibangkitkan mereka akan kita lihat satu persatu dan saya juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi bagi memahami dengan lebih mendalam isu ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.
Khairy berkata, pihaknya akan memberi sepenuh komitmen kepada tuntutan yang dibangkitkan dan mengusahakan agar kebajikan mereka sebagai petugas barisan hadapan terjaga apatah lagi mereka banyak membantu negara dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Kita jangan pandang ringan pada perjuangan mereka malah saya sendiri hadir untuk bertemu selepas mereka mengharungi perjalanan lebih 500 kilometer. Saya tidak mahu hampakan mereka,” tambah beliau.
Terdahulu, seramai 25 individu yang merupakan ahli-ahli Nuwhsas hadir ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan di sini untuk bertemu dan menyerahkan sendiri memorandum tuntutan kepada Khairy.
Kumpulan berkenaan berkonvoi menggunakan motosikal selama empat hari bermula 5 Februari lalu dari Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menempuh perjalanan sejauh 530 kilometer semata-mata bagi menyerahkan memorandum tersebut.
Difahamkan, antara tuntutan yang disuarakan kepada Khairy supaya pihak kementerian campur tangan menyelesaikan isu antaranya menghapuskan sistem kontrak dan menyerap semula pekerja sokongan hospital sebagai kakitangan kerajaan.
Nuwhsas turut memperjuangkan pemberian elaun Covid-19 kepada semua pekerja sokongan di hospital kerajaan serta menghentikan pemerasan kerja oleh majikan kepada ahli-ahli kesatuan. – UTUSAN










