JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) kecewa terhadap kerajaan yang sibuk berpolitik sehingga terlupa untuk membela nasib rakyat yang terkesan dengan isu kenaikan harga ayam dan telur sejak akhir-akhir ini.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, isu tersebut dibangkitkan bukan sahaja oleh golongan penjual malah disuarakan para pembeli yang menyuarakan kebimbangan ekoran harga ayam dan telur terus melambung.
Katanya, perkara itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu dan kini penjual mungkin berdepan masalah bagi mendapatkan bekalan ayam dan telur ekoran permintaan yang tinggi.
“Sudah dua minggu setiap kali saya berkunjung ke pasar tani, tak kira pembeli atau peniaga pasti bangkitkan soal kenaikan harga ayam dan telur. Sebab itu saya pelik apabila sedang rakyat merana akibat kegagalan kerajaan mengawal harga dan bekalan telur dan ayam, mana suara ‘poster boy’ parti kerajaan dalam isu ini?
“Sudah-sudahlah politicking menggelarkan sana sini dengan haiwan. Realitinya mereka tak endah pun isu ini tapi lebih berminat politicking berebut kuasa dan kedudukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akmal Nasrullah memberitahu, kerajaan ketika ini lebih sibuk memikirkan soal meluaskan kuasa apabila memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, dengan mengadakan PRN, ia menelan kos hingga ratusan juta yang sepatutnya boleh digunakan untuk menampung kenaikan harga ayam dan elakkan kekurangan bekalan telur dan ayam.
“Buktinya kalau UMNO benar fikirkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat, dia tak ada masa nak bubarkan DUN buat PRN. Kos PRN Sabah sahaja RM160 juta, PRN Melaka pula RM40 juta, ini entah berapa juta lagi nak bazirkan untuk PRN Johor.
“Mainan kuasa BN dan Perikatan Nasional (PN) sedangkan kos-kos ini semua boleh digunakan untuk menyelesaikan isu kenaikan harga ayam dan telur. Hentikanlah rebut kuasa, selesaikan isu rakyat. Kalau tak kesian dengan saya, kesianlah dengan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN