Hospital Pendang beroperasi September

Hospital Pendang beroperasi September

AWANG Hashim (dua kiri) menyampaikan sijil kepada peserta Majlis Penganugerahan Sijil Program empowerNCER: Latihan Kemahiran Dan Keusahawanan Peringkat Daerah Pendang di Pendang Kedah hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Hospital Pendang di Kampung Manggol Pauh di sini dijangka beroperasi pada September ini sekali gus menamatkan penantian penduduk daerah ini mendapatkan perkhidmatan kesihatan lebih baik sejak 40 tahun lepas.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pembinaan hospital itu yang bermula dua tahun lalu sudah 99 peratus siap.

“Alhamdulillah, inilah yang ditunggu-tunggu oleh penduduk Pendang hampir 40 tahun iaitu sejak pengambilan hak milik tanah pada 1983 dan pada 2020 baru dapat dibina setelah hampir tiga kali perasmian dan peletakan batu asas yang mana bangunan tidak naik batu asas pun hilang.

“Pembinaan hospital ini sudah 99 peratus siap dan tunggu peralatan untuk dibawa masuk sahaja bagi memenuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sijil Program empowerNCER: Latihan Kemahiran Dan Keusahawanan Peringkat Daerah Pendang di Dewan Cenderawasih Pendang di sini hari ini.

Kata beliau, majlis penyerahan daripada kontraktor kepada kerajaan akan dibuat menjelang Jun ini dan dijangka digunakan sepenuhnya pada September ini.

Hadir sama, Pengarah Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Shahdee Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis.

Menurut beliau, operasi sepenuhnya Hospital Pendang itu kelak dijangka memanfaatkan sepenuhnya penduduk sekitar dan daerah lain terletak berdekatan.

“Kita berharap tidak ada lagi penundaan berlaku. Ikut jadual adalah September. Penyerahan hak milik akan disempurnakan oleh Perdana Menteri atau Menteri Kesihatan.

Apabila beroperasi kelak akan beri manfaat kepada penduduk di mana sekarang kos perubatan sangat tinggi dan serba sedikit mengurangkan kos penduduk berulang alik ke hospital lain,” katanya.

Hospital Pendang yang menelan kos RM210 juta itu dilengkapi klinik pakar merangkumi perubatan am serta psikiatri, pembedahan, ortopedik (pembedahan tulang dan otot), pediatrik (pakar kanak-kanak) dan obstetrik dan ginekologi (pakar sakit puan). –UTUSAN .

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya