Henti sewa tapak niaga kepada warga asing - Utusan Malaysia

Henti sewa tapak niaga kepada warga asing

WARGA asing yang berkerja sebagai pembantu peniaga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbuatan menyewakan tapak niaga di pasar-pasar awam oleh orang tempatan kepada warga asing perlu dihentikan segera.

Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, jika tidak ditangani, peluang perniagaan dan pekerjaan untuk orang tempatan terjejas disebabkan sikap tamak segelintir pihak yang mahu mengaut keuntungan cepat dengan mudah.

Katanya, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengetatkan pemantauan serta kawalan ke atas tuan punya gerai supaya mereka tidak sewakan kepada warga asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga diberitahu harga barang mentah di pasar borong ditentukan atau dimonopoli warga asing, jadi pihak berwajib perlu sentiasa memantau harga barangan dan bukannya menunggu sampai ada aduan dibuat untuk mengambil tindakan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, warga asing menjadi kuat disebabkan kelemahan warga tempatan sendiri yang tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak boleh salahkan sebelah pihak sahaja, warga asing datang ke negara kita untuk bekerja. Jadi apabila mereka diberi tawaran untuk berniaga sudah pasti mereka mengambil peluang tersebut.

“Jika lihat pada borang permohonan pemilikan tapak niaga juga sudah kita akui bahawa tapak itu untuk kita niaga dan bukan orang lain. Kita sendiri memecahkan amanah tersebut. Jika ikut undang-undang lesen mereka boleh ditarik tetapi jika dibuat sebegitu timbul pula isu sentimen dan sebagainya,” katanya.

Semasa tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar mendapati, bilangan warga tempatan yang menjalankan aktiviti berniaga lebih sedikit berbanding warga asing dan dilihat mereka mempunyai kelompok besar di kawasan dagangan itu.

Menurut sumber, warga asing mendapat peluang menjalankan perniagaan di sana adalah disebabkan warga tempatan yang memohon lesen daripada pihak berkuasa tetapi bertindak meraih keuntungan ‘atas angin’.

“Apa yang saya tahu dekat sini, setiap satu tapak dicaj sewa sebanyak RM2,000 ke RM2,500 mengikut lot dan kawasan pasar itu sendiri. Namun, jumlah sewaan itu tidak besar mana jika bandingkan dengan keuntungan sehari yang dianggarkan melebihi RM5,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×