LENGGONG: Kerajaan Perak menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam menentukan harga runcit bagi ayam standard di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat mengikut tindakan kerajaan Selangor yang menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram.
Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri menetapkan harga siling runcit ayam lebih rendah daripada yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan, ia tidak memberi jaminan subsidi yang diberikan hanya akan diterima oleh rakyat di negeri ini sahaja.
“Perkara seperti ini kena dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dibincangkan secara bersepadu dengan kerajaan Persekutuan kerana kalau harga ayam di Perak lebih murah daripada di Pulau Pinang, siapa boleh beri jaminan hanya orang Perak sahaja yang beli?.
“Ataupun harga ayam dijual jauh lebih murah daripada Selangor, maka berpusu-pusu orang Selangor seberang Sungai Bernam untuk beli ayam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kayuhan Muhibah Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Perak di Dewan Serbaguna Taman Kota Tampan di sini hari ini.
Menurut Saarani, meskipun pelaksanaan perkara itu kelihatan lebih baik untuk rakyat di negeri masing-masing, namun tiada mekanisme menghalang penduduk negeri lain datang membeli ayam sekiranya ia dijual murah di negeri ini.
“Oleh itu, perkara ini kita tidak boleh buat di peringkat negeri semata-mata dan pada pendapat saya dia kena dibincangkan sekali dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Semalam, kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram di premis jualan seliaan PKPS.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 50,000 ekor ayam standard diperuntukkan sebagai permulaan kempen jualan berkenaan dengan dana berjumlah RM1 juta di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Wisma PKPS di Shah Alam.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media minggu lalu memaklumkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram berkuat kuasa semalam sehingga 5 Jun ini.