Hanya dua peratus bomba tolak vaksin - Utusan Malaysia

Hanya dua peratus bomba tolak vaksin

MOHD. ALI Mohd. Rustam (tengah) menerima cenderamata daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) dalam Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil, Melaka hari ini. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti tidak sampai 50 orang atau dua peratus kakitangan agensi itu yang menolak suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan ke negeri-negeri terlibat bagi mendapatkan nama anggota yang terlibat.

Menurutnya, kesemua mereka akan menjalani sesi kaunseling, penerangan dan taklimat berhubung tindakan yang akan diambil, jika masih berkeras enggan menerima vaksin.

“Jumlah yang kita kenal pasti tidak sampai 50 orang atau dua peratus sahaja yang langsung tidak mahu mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Kita akan beri penerangan mengenai kepayahan yang akan mereka hadapi sewaktu bertugas kerana di setiap balai bomba dan penyelamat (BBP), kita bekerja sebagai satu pasukan, begitu juga bila berada dalam jentera. 

“Selain itu, nak masuk balai pun kena imbas MySejahtera dan kalau berwarna lain daripada yang lain, individu itu tidak dibenarkan masuk. Ini adalah antara contoh yang akan dihadapi oleh mereka ini jika masih terus menolak vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Bukit Katil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hamdan berkata, antara sebab utama dikenal pasti adalah soal agama, rasa takut kesan daripada suntikan tersebut dan terpengaruh dengan gerakan antivaksin.

Sehubungan itu, katanya, selepas melalui sesi kaunseling dan penerangan, barulah JBPM akan meminta representasi mengapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil ke atas mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 12,000 anggota berada dalam kesiapsiagaan di seluruh negara bagi menghadapi bencana kebakaran hutan ekoran musim panas yang dijangka bermula bulan depan.

“Perubahan iklim bulan depan akan berlaku krisis air dan kemarau serta situasi ini juga boleh menyebabkan berlakunya kebakaran hutan.

“Pemantauan rapi dibuat di beberapa buah negeri titik panas (hotspot) sering berlakunya bencana itu di Perak, Pahang, Selangor, Utara dan Selatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN