PUTRAJAYA: Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menyasarkan lebih banyak inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dapat selesai dilaksanakan pada tahun ini berikutan momentum positif ditunjukkan 27 ketua agensi peneraju.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak lapan daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam Semakan Separuh Penggal NACP berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output agensi peneraju.
“Daripada 74 inisiatif yang berbaki ini, sebanyak 14 inisiatif lagi sedang dalam proses pelaksanaan di peringkat output dan dijangka selesai dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
“Bagi memastikan lebih banyak inisiatif NACP dapat selesai dilaksanakan sehingga peringkat output pada tahun ini, ketua agensi peneraju dinasihatkan memberi fokus kepada inisiatif mustahak seiring dengan dasar kerajaan ketika ini yang menjurus ke arah pemulihan sektor ekonomi dan sosial negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, GIACC yakin sekiranya pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memerlukan perubahan berbentuk pentadbiran serta fokus kepada agenda antirasuah dapat diutamakan, dijangka lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan sehingga peringkat output sebelum pertengahan tahun ini.
“Untuk makluman, NACP yang dilancarkan pada 2019 akan berakhir pelaksanaannya pada 2023. Sebanyak 115 inisiatif digariskan dalam NACP dan daripada jumlah tersebut, 29 inisiatif berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE