Geran RM50j untuk peniaga, informal terjejas banjir - Utusan Malaysia

Geran RM50j untuk peniaga, informal terjejas banjir

Sawah padi yang musnah akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga tiga hektar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu merupakan penambahbaikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu golongan perusahaan mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, bantuan kedua ialah dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

ISMAIL SABRI YAAKOB

“Ketiga, dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

“Keempat, dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga tiga hektar.

Bagi pengusaha pertanian lain pula, kata beliau, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Beliau menjelaskan, di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon bantuan sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian.

“Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan.

“Kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya