KOTA KINABALU: Ahli UIMNO diingatkan supaya tidak menunggu sehingga pembubaran Parlimen baharu hendak menggerakkan jentera dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Demikian peringatan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada jentera parti itu.
Beliau berkata, jentera parti di semua peringkat sepatutnya sudah mula bekerja bagi memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi sebagai persediaam menghadapi PRU-15.
Sekiranya persediaan yang dilakukan cukup rapi maka, UMNO Sabah tidak akan berhadapan kesukaran untuk memperkukuhkan jentera parti.
“Struktur kita (UMNO) sudah lengkap, kita mempunyai bahagian pemuda, wanita, puteri dan cawangan.
“Jika semua peringkat berfungsi dengan baik ia memudahkan gerak kerja untuk menghadapi PRU ke-15,” katanya selepas mesyuarat secara tertutup bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, sebagai langkah bersiap-siaga, jentera parti seharusnya sudah mula melakukan kajian mengenai sikap pengundi di peringkat akar umbi.
“Semua sayap parti terutama Pemuda dan Puteri masing-masing mempunyai peranan penting pada PRU-15 kerana kita akan berhadapan dengan pengundi muda yang berusia antara 18 hingga 21 tahun.
“Golongan ini kali pertama menjadi pengundi maka, kita (parti) perlu mengetahui pemikiran dan citarasa mereka,” katanya.
Justeru itu katanya, program yang lebih mesra kepada golongan muda perlu diberi perhatian bagi memenuhi aspirasi mereka agar golongan ini lebih arkab dengan kepimpinan dan parti.
Ahmad Zahid hadir ke Sabah bagi siri lawatan selama dua hari untuk berjumpa kepimpinan UMNO Sabah dan seterusnya merasmikan Persidangan Agung Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini.
Mengulas mengenai mesyuarat UMNO Sabah, Bung Moktar berkata, perjumpaan bersama Presiden parti itu hanya sekadar perjumpaan biasa yang membincangkan tentang isu-isu semasa dan persediaan jentera Barisan Nasional (BN)/UMNO Sabah menjelang PRU-15.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin. –UTUSAN