Ganda tugas pembersihan hadapi fenomena cuaca luar biasa 

Ganda tugas pembersihan hadapi fenomena cuaca luar biasa 

MBPP melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran menggandakan kerja-kerja pembersihan sebagai langkah persediaan awal menghadapi fenomena cuaca luar biasa di Pulau Pinang ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran menggandakan kerja-kerja pembersihan sebagai langkah persediaan awal menghadapi fenomena cuaca luar biasa. 

MBPP dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja pembersihan longkang, parit dan kawasan-kawasan sekitar dijadualkan semula ekoran keadaan cuaca tidak menentu. 

“Wira-wira Baju Kuning telah memulakan tugas-tugas mereka seawal pukul 7 pagi setiap hari sehingga selesai. Pada hari ini, mereka telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan parit di kampung belakang Pasar Jalan Perak untuk membersihkan sisa sampah-sarap dan daun-daun kering,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kelmarin, hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan di Pulau Pinang menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung terbang. Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar pukul 5 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. 

Tambah kenyataan itu, melalui ‘Smart Environment’ Pelan Strategik MBPP, sebanyak 300 batang pokok di tepi jalan yang berisiko  dikenal pasti untuk diselenggara segera bagi mengelakkan  tumbang ketika musim cuaca luar biasa. 

“Jabatan Landskap MBPP telah menyelenggara sebanyak 3,000 pokok sejak awal Januari tahun ini sehingga kini. Skuad Pantas MBPP yang dikendalikan Jabatan Penguatkuasaan dengan kekuatan 15 tenaga kerja pada satu-satu masa juga telah bersedia dalam menguruskan bantuan kecemasan seperti pokok tumbang, banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya. 

Tambahnya, MBPP turut menjalankan kerja pembersihan parit-parit bertutup bagi mengelakkan berlaku banjir kilat. 

“Pembersihan parit-parit bertutup secara menyeluruh melibatkan kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir untuk mengelakkan tersumbat dan mengakibatkan air melimpah,” katanya. 

Tambahnya, warga Pulau Pinang diminta supaya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya terutama ke dalam parit atau longkang.  – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN