Fahmi Reza didakwa hantar komunikasi jelik berkaitan tempoh kuarantin menteri - Utusan Malaysia

Fahmi Reza didakwa hantar komunikasi jelik berkaitan tempoh kuarantin menteri

MOHD. Fahmi Reza Mohd. Zarin hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui aplikasi Twitter. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui aplikasi Twitter, Februari tahun lalu.

Lelaki itu yang juga dikenali sebagai Fahmi Reza, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat penghantaran berkaitan isu kelonggaran pelaksanaan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan, pereka grafik itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan laman profil Twitter Fahmi Reza atau@kuasasiswa pada pukul 3.02 petang, 10 Februari 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca pukul 4 petang, 11 Febuari 2021 di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, OKS yang diwakili peguam Rajsurian Pillai memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan Mohd. Fahmi Reza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya