MELAKA: Sepasang kekasih dan dua rakan mereka diberkas selepas dikesan memiliki dadah jenis ganja untuk kegunaan kira-kira 1,500 penagih di Melaka, Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam serbuan Op Tapis di sebuah kondominium di Banda Hilir di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan, kesemua empat suspek iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan serta dua lelaki warga Pakistan ditahan selepas pemeriksaan di premis menemukan ganja seberat 1,064 gram.
“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah membuat serbuan dan merampas satu beg plastik. Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemukan lapan ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat 1,064 gram yang boleh digunakan oleh 1,500 penagih di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menganggarkan keuntungan bersih penjualan dadah yang dirampas boleh mencecah sehingga RM53,000.
“Suspek wanita tersebut merupakan pasangan kekasih kepada salah seorang suspek warga Pakistan dan kesemua suspek tinggal serumah. Kita syaki mereka mengedar dadah di sekitar kawasan Bandar Melaka dan bekalan yang dirampas itu boleh membawa keuntungan sehingga RM53,000,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau dan kini direman sehingga 18 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN