KUANTAN: Empat daerah di negeri ini telah dikenal pasti untuk dibina Pusat Penempatan Banjir Kekal (PPBK) bagi menempatkan mangsa yang kediaman mereka sering dilanda musibah itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat daerah itu adalah Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan.
“Buat masa ini, empat daerah ini telah dikenal pasti namun ia belum muktamad (dari segi pemindahan).
“Ini kerana kerajaan negeri perlu berjumpa dengan mangsa terlibat terlibat dahulu, kita tidak mahu pindahkan mereka secara paksa,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha bagi membantu mangsa yang sering dilanda banjir di negeri ini.
Beliau berkata, buat masa ini, fokus utama diberikan kepada membina baharu rumah yang rosak teruk akibat banjir pada pertengahan Disember tahun lalu.
“Kita akan juga dalam proses membaik pulih rumah yang perlu dibaiki kesan musibah berkenaan.
“Agensi berkenaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah mengenal pasti rumah untuk dibaiki,” katanya. – UTUSAN ONLINE










