Dugaan besarkan dua anak OKU - Utusan Malaysia

Dugaan besarkan dua anak OKU

INTAN Maszura Nordin bersama Muhammad Hairie Haikal. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sepasang suami isteri yang berdepan dugaan membesarkan dua orang anak orang kurang upaya (OKU) kini diuji pula dengan masalah kewangan.

Intan Maszura Nordin, 40, berkata, suaminya, Mohd. Azizi Zakaria, 43, tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas pandemik Covid-19 yang melanda sehingga menyukarkan kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Jelasnya, suaminya sering kali diberhentikan kerja kerana terpaksa selalu mengambil cuti kerana perlu menjaga kedua orang anak mereka iaitu anak ketiga, Nurul Aleaya Aqiela, 15, yang menghidap autisme dan bongsu mereka, Muhammad Hairie Haikal, 13, yang mengidap penyakit Cerebral Palsy untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Segamat, Johor.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang lagi sukar buat suami untuk mendapatkan pekerjaan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila saya dan Nurul Aleaya Aqiela dijangkiti Covid-19 pada Mei tahun lalu.

“Hampir sebulan juga kami menjalani tempoh kuarantin dan suami juga hilang pekerjaan pada waktu berkenaan. Mujur ada bantuan makanan pada waktu itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah sewanya di Taman Sentosa, Gemas, di sini semalam.

Intan Maszura berkata, dia bukanlah berhasrat untuk meminta-minta namun keadaan memaksanya untuk meluahkan beban perasaan yang dialami mereka sekeluarga.

Menurutnya, dia kini buntu untuk mendapatkan wang bagi kos ulang alik ke Hospital Segamat serta membayar dua bulan tunggakan sewa rumah yang diduduki mereka.

“Alhamdulillah, suami baharu mendapat pekerjaan dua minggu lalu namun masih belum menerima gaji pertama.

“Buat masa ini, kami sekeluarga berjimat cermat menggunakan duit bantuan bulanan menjaga OKU terlantar dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang menerusi akaun Maybank bernombor 155078501263 di atas Intan Maszura Nordin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.