ALOR SETAR: Polis menahan dua remaja disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dan berlumba dalam Op Samseng Jalanan di Lampu Isyarat Kedondong Pokok Sena di sini dan sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketika ditahan pagi tadi, dua remaja berusia belasan tahun itu sedang menguji kelajuan dan bersaing sesama sendiri.
“Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar di lampu isyarat Kedondong Pokok Sena dan di sekitar Alor Setar berakhir pada pukul 5 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, dua remaja itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.
“Ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati kedua-dua lelaki tersebut negatif. Saya menyeru agar ibu bapa atau penjaga menitikberatkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat. Ini kerana perbuatan itu akan menjejaskan masa depan anak muda,” jelasnya.
Tambah beliau, antara saman yang dikeluarkan dalam operasi tersebut membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain.
“Tindakan tegas dan proaktif oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti seumpama ini.
“Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah dan dadah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN