KUCHING: Aksi berbahaya dua remaja lelaki ala Superman bersaing sesama sendiri ketika menunggang motosikal masing-masing, kini berdepan denda dan hukuman yang berat.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dua remaja terbabit yang masing-masing berusia 14 dan 17 tahun ditahan ketika menunjukkan aksi berbahaya itu di Jalan Sultan Tengah malam tadi.
Katanya, kedua-duanya ditahan semasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Daerah Kuching sedang menjalan Ops Samseng Jalanan di Jalan Sultan Tengah malam tadi.
Menurut Ashmon, kedua-dua telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.
Ashmon berkata aksi mereka bukan sahaja berbahaya keadaan diri mereka sendiri, tetapi juga terhadap pengguna jalan raya yang lain.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.
“Jika disabit kesalahan mereka boleh didenda RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang dariada lima tahun serta hilang kelayakan memiliki lesen sehingga lima tahun,” katanya.
Sementara itu, Ashmon berkata sebanyak 14 keping saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan semasa Ops Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Sultan Tengah di sini malam tadi.
Katanya, saman yang dikekuarkan termasuk dua bagi kesalahan tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar (dua), tiada nombor pendaftaran pada bahagian hadapan (satu), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (satu),
cukai jalan tamat tempoh (satu), lampu obligatory tidak berfungsi (dua), ubah suai ekzos (satu), ubah suai struktur peralatan (satu), hon tidak berfungsi (dua) dan brek tidak berfungsi dengan baik (satu).
Operasi yang bermula jam 5 petang dan berakhir jam 11.50 malam itu diketuai oleh Inspektor Penguatkuasaan Trafik Inspektor Ngang Kalimpot bersama lima anggota trafik.
Ashmon berkata, operasi dijalankan bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal secara melalu dan berbahaya.
Beliau menambah, Ops Samseng Jalanan ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan mereka yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal secara berbahaya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut di daerah ini. – UTUSAN ONLINE