SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Pulau Bohey Dulang, di sini semalam diteruskan pada pukul 7 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, kedua-dua mangsa yang berbangsa Suluk iaitu tekong, Wleson @ Jukno, 30 dan Osman Palik, 28, keluar untuk memukat namun, gagal dihubungi dan dikhuatiri hilang.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Op Carilamat dua nelayan hilang itu semalam dan operasi ditangguhkan pada pukul 6 petang.
Beliau berkata, dua bot peronda Maritim Malaysia serta sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian.
“Menurut laporan yang diterima, pengadu telah menghubungi telefon bimbit mangsa kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam namun gagal.
“Khuatir dengan keselamatan mereka yang masih berada di laut, pengadu telah ke balai polis berdekatan dan membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -UTUSAN ONLINE










