Dua beranak terhumban ke dalam parit diselamatkan penduduk kampung - Utusan Malaysia

Dua beranak terhumban ke dalam parit diselamatkan penduduk kampung

KEADAAN kereta Bezza dan Axia yang terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Parit Haji Omar, di Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan pantas penduduk kampung berjaya menyelamatkan nyawa dua beranak yang terhumban ke parit selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kampung Bukit Kuching Tengah di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta Proton Bezza bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki dua beranak itu berlanggar sebuah Perodua Axia di Jalan Parit Haji Omar tersebut.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kereta Bezza itu terhumban ke parit setinggi kira-kira lima meter.

“Beberapa penduduk kampung yang terkejut kemudian segera menyelamatkan dua beranak itu yang mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua beradik wanita berusia 37 dan 51 tahun yang menaiki Axia turut terselamat dan hanya cedera ringan.

Dalam pada itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.07 pagi.

Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerah dalam operasi itu.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati Bezza berkenaan masih berada dalam parit manakala Axia di tebing jalan itu.

“Keempat-empat mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah Norazam, semua mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya