Dua beradik yatim piatu mahu dekat dengan kubur ibu bapa

Dua beradik yatim piatu enggan pindah, mahu dekat dengan kubur ibu bapa

TUN Nur Rania Adawiah Tun Rahim dan Tun Muhammad Raihan Darwisyah bersama ibu-ibu saudara mereka di Kampung Machang, Hulu Terengganu. – FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Dua beradik yatim piatu di Kampung Machang di sini sanggup tinggal berdua di rumah peninggalan ibu bapa mereka semata-mata kerana tidak mahu berjauhan dengan pusara insan tersayang.

Walaupun ada enam kakak dan abang, namun, Tun Nur Rania Adawiah Tun Rahim, 16, dan adiknya, Tun Muhammad Raihan Darwisyah, 14, selesa hidup berdua, sejak pemergian ibu bapa mereka November lalu.

Tun Nur Rania Adawiah berkata, ibunya, Azizah Kassim, 56, meninggal dunia akibat Covid-19 tahap lima pada 3 November 2021 disusuli bapanya, Tun Harun Tun Omar, 61, yang diserang sakit jantung, 19 hari kemudian.

“Bukan tidak mahu tinggal dengan kakak dan abang tetapi kami selesa di sini sebab ba­nyak kenangan bersama emak dan ayah, malah dekat dengan kubur mereka kalau kami rindu.

“Saya dan adik cuma berada di rumah pada hari cuti kerana hari-hari biasa kami tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Landas di Ajil,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya semalam.

Tun Nur Rania Adawiah ber­kata, perbelanjaan mereka kini hanya bergantung kepada bantuan kakak dan abang yang kebanyakannya sudah berkeluarga termasuk menetap di Selangor dan Perak.

Menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, ibunya menghembuskan nafas terakhir selepas ditidurkan tiga hari.

Sementara itu, ibu saudara­nya, Khadijah Kasim, 50, berkata, dia sentiasa datang menje­nguk dua beradik itu jika mereka pulang dari asrama bagi memenuhi permintaan arwah kakaknya.

“Kadang-kadang mereka datang bermalam di rumah saya. Buat masa ini, kedua-dua anak saudara belum mendapat sebarang bantuan kewangan kerana tiada permohonan dibuat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN