Dua beradik maut dalam kemalangan di Jalan Bernam - Tanjong Karang - Utusan Malaysia

Dua beradik maut dalam kemalangan di Jalan Bernam – Tanjong Karang

DUA buah kereta jenis Toyota Camry dinaiki dua beradik dan sebuah Mercedes dipandu seorang lelaki terlibat dalam kemalangan di Jalan Bernam-Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dua beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta mereka jenis Toyota Camry dan Mercedes terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Bernam  – Tanjong Karang di sini petang tadi.

Sha Sabarina Marsom, 26, disahkan terkorban di tempat kejadian, sementara adiknya Norhidayah Marsom, 19, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong karang.

Pemandu lelaki berusia 54 tahun yang memandu kereta Mercedes berwarna perak mengalami kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.02 sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

“Berdasarkan laporan awal, dua buah kereta terbabit dalam kemalangan. Lelaki yang memandu kereta Mercedes walau bagaimanapun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang dengan ambulans.

“Namun seorang mangsa, Sha Sabarina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, sementara adiknya Norhidayah pula meninggal dunia di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, ketika kejadian enam pegawai dan anggota bersama sebuah trak bomba dan trak pikap dikejarkan ke tempat kejadian.

Sementara itu, Utusan Malaysia sedang menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut kejadian terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN