Didenda RM10,000, guna 'halal' tanpa perakuan Jakim - Utusan Malaysia

Didenda RM10,000, guna ‘halal’ tanpa perakuan Jakim

MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, Melaka menjatuhi hukuman denda RM10,000 kepada Joanne To Mei Ting kerana menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jakim. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemilik kafe Tipsier Bridge Cafe Waronk yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hakim Nariman Badruddin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Joanne To Mei Ting, 30, yang membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sebagai pemilik tunggal Tipsier Bridge Cafe Waronk memperakui makanan di kafe itu adalah halal dengan ungkapan perkataan tersebut pada lapan buku menu tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang di premis perniagaan Tipsier Bridge Cafe Waronk di Kampung Pantai di sini, 5 Mac tahun lalu.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut perintah 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan kini menanggung anak dan ibu yang sakit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi bagaimanapun memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor perkataan halal adalah isu sensitif.

Beliau turut mengetengahkan faktor lokasi premis tersebut yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini iaitu berdekatan Jonker Walk.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM10,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya