PETALING JAYA: Rakyat negara ini tidak perlu panik dengan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat kepada 9,117 kes semalam kerana tahap keseriusannya masih terkawal.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, namun semua pihak perlu berhati-hati dengan peningkatan itu dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah pandemik tersebut.
“Kita tidak boleh menjangkakan setakat mana kes itu akan melonjak naik namun apa yang kita boleh lakukan adalah terus mematuhi SOP,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu Kuljit berkata, kerajaan perlu mengambil langkah untuk menghentikan dakyah golongan antivaksin supaya lebih ramai berkeyakinan menerima vaksin sebelum varian Omicron menular dengan lebih luas.
“Penyebaran berita palsu oleh golongan antivaksin menyebabkan masih ramai takut untuk menerima vaksin dan mereka ini yang sering menerima simptom yang teruk apabila dijangkiti Covid-19,” ujarnya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam mengakui kes Covid-19 akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang.
Beliau mengambil contoh bagaimana Singapura mencatatkan 4,297 kes baharu pada 3 Februari lalu tetapi jumlah itu naik sehingga ke 13,208 kes semalam.
“Kes kita juga akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang.
“Gelombang Omicron ini sangat mudah dijangkiti. Setakat ini, gejalanya jauh lebih rendah daripada Delta. Kekal berwaspada. Dapatkan dos penggalak,” katanya menerusi akaun Twitter beliau.
Sementara itu, pakar kesihatan komuniti dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pada masa ini semua pihak wajib peka dengan SOP walaupun mereka sudah lengkap dengan dua dos dan menerima dos penggalak.
“Memang mengikut kajian sekarang, varian Omicron tidak seganas varian Delta dan peningkatan jangkitan Covid-19 tidak menunjukkan peningkatan kes kritikal namun ini adalah permulaan selepas sekian lama, jadi kita tidak boleh membuat sebarang jangkaan lanjut.
“Majoriti kes adalah daripada kategori satu dan dua dan tiada peningkatan jumlah kematian setakat ini. Melihat keadaan sekarang, saya berharap rakyat terus mematuhi SOP dengan sempurna dan elak tempat sesak,” katanya. – UTUSAN










