Ceroboh hutan simpan, tiga warga Kemboja dipenjara - Utusan Malaysia

Ceroboh hutan simpan, tiga warga Kemboja dipenjara

TIGA lelaki warga Kemboja yang menceroboh Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki warga Kemboja dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menceroboh Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, bulan lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas Noeun Sokhen, 52, di samping Soeung Sopheap, 52, dan Seur Phakdey, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap mereka dijalankan bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Januari.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memasuki Kompartmen 492, Hutan Simpan Tembat tanpa permit atau kebenaran pihak berkuasa negeri, kira-kira pukul 6.30 pagi.

Pendakwaan mengikut Seksyen 47 (1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar.

Sementara itu, tertuduh pertama, Sokhen, turut dihukum penjara 10 bulan selepas didapati didakwa mengikut Seksyen 84(1) akta sama kerana memiliki kayu gaharu.

Mahkamah turut memerintahkan semua peralatan kerja dan kayu gaharu yang disita dilucut hak kepada Pengarah Perhutanan Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN