'Buang masa tunggu 17 bulan lagi, jalan terus' - Utusan Malaysia

‘Buang masa tunggu 17 bulan lagi, jalan terus’

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua Menteri Besar Johor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mampu mentadbir.

Seorang Menteri Besarnya gagal di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu terpaksa letak jawatan manakala seorang lagi digantikan di waktu Perdana Menterinya merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerana itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed percaya rakyat Johor sebenarnya sudah muak dengan retorik politik yang tidak berkesudahan sejak Mei 2018, lantas mendorong perlunya satu pilihan raya negeri dijalankan.

“Semasa PH memerintah lagi dah dengar retorik politik ini. (Sebab itu) Hasni (Datuk Ir. Hasni Mohammad) perlu kekuatan mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) di kala pembangkang tunjukkan tidak ada kemampuan mentadbir.

“Tiba 28 Februari 2020 bila masuk Hasni (angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-18), dia boleh pula kemudi Johor sebagai Menteri Besar dan dianggap berjaya.

“Bersatu letakkan dua orang, gagal zaman PH (letak jawatan 8 April 2019), yang kedua pula zaman Muhyiddin (selepas Langkah Sheraton 24 Februari 2020). Failed pula tu di Johor, nama saja kubu kuat Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya kenapa PRN Johor perlu dijalankan, di sebalik dakwaan Bersatu bahawa PRN berkenaan ‘memperlihatkan kerakusan UMNO Johor bermain politik demi kuasa’.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, dalam konteks Johor yang bersempadan dengan Singapura, negeri di selatan tanah air itu merupakan pusat ekonomi kedua penting selepas Kuala Lumpur.

“Salahkah PRN berlaku waktu ini? Tak salah kerana selari dengan keperluan dan tuntutan ekonomi demi kemakmuran dan kestabilan negeri. Kita pun boleh lihat, belum pun PRN Johor, pembangkang sudah pun gaduh tentang calon MB. DAP mahukan (Datuk Seri) Salahuddin Ayub, PKR pula hendakkan Dr. Maszlee Malik.

“(Pada masa sama) Bersatu dengan Pas dah berterabur. Jadi, buat apa nak buang masa tunggu 17 bulan lagi (sehingga mandat kerajaan memerintah berakhir 16 Julai 2023). Lebih baik buat sekarang (PRN), jalan terus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN