SEREMBAN: Operasi mencari seorang wanita warga emas, A. Sivapaki, 71, yang hilang sejak kelmarin ketika menjaga lembu peliharaannya dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini diteruskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Mohd. Izzuwan Abd. Rahim berkata, operasi mencari wanita itu pada hari ini diteruskan dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Anggota bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dibantu oleh dua anggota dari Pasukan Multi-Skill Team (Must) dan tiga anggota dari Unit K9 bomba bersama dua ekor anjing pengesan.
“Kami juga turut dibantu oleh dua anggota Unit K9 polis melibatkan seekor anjing pengesan dan lima anggota polis dari Balai Polis Kuala Sawah dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya hari ini.
Semalam Utusan Online melaporkan seorang wanita warga emas dipercayai hilang ketika mencari lembu di kawasan ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau dekat sini.
Sivapaki, hilang dan tidak pulang ke rumah sejak pukul 11 pagi kelmarin.