Ayam dan telur import, elak kekurangan bekalan dalam negara - Utusan Malaysia

Ayam dan telur import, elak kekurangan bekalan dalam negara

MOHD. FASIAH Mohd. Fakeh (dua, kanan) melakukan walkabout sempena kempen pasar tani lestari dan pintar Pasar Tani Mega berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan bertindak proaktif dengan membenarkan pengimportan daging ayam dan telur dari luar negara bagi menampung kekurangan bekalan tersebut di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, langkah alternatif itu dilaksanakan sementara bekalan ayam dan telur yang diperlukan dalam negara kembali stabil. 

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

“Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah keluarkan arahan mengimport bekalan ayam dan telur untuk tempoh tertentu. Apabila pengeluaran ayam dan telur sudah meningkat sudah pasti kita hentikan pengambilan import ini. 

“Jadi, kita harap pengusaha tidak menaikan harga sewenangnya dalam situasi kekurangan bekalan ini, sebaliknya mengikut harga pasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan mengedarkan plastik bio dalam kempen Pasar Tani Lestari dan Pintar di Pasar Tani Mega di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fasiah berkata, faktor cuaca dan bencana antara punca kepada masalah kekurangan bekalan ayam dan telur.

“Cuaca tidak menentu dengan hujan sepanjang musim Monsun Timur Laut dan bencana banjir menyaksikan pengusaha tempatan berdepan masalah untuk membekalkan ayam dan telur di pasaran.  Dengan ada bekalan ayam (import) dan kerajaan pun sudah tetapkan (harga ayam) RM8.90 sekilogram, berkuat kuasa semalam jadi ia (harga) sudah berpatutan dan tidak membebankan rakyat malah pengusaha pun masih memperoleh keuntungan,” katanya. 

Sebelum ini, Ronald dalam sidang akhbarnya di Besut, Terengganu pada 24 Januari lalu. dilaporkan berkata, kerajaan memberi kelulusan kepada 32 syarikat bagi mengimport ayam bulat sejuk beku dari tiga negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah dihadapi rakyat. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN