Aras air Tasik Bukit Merah meningkat

Aras air Tasik Bukit Merah meningkat

KEADAAN air di Tasik Bukit Merah dekat Bagan Serai yang meningkat berikutan hujan di kawasan itu. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR:  Bekalan air ke sawah di daerah Kerian di sini akan disalurkan mengikut jadual yang telah ditetapkan berikutan peningkatan aras air di Tasik Bukit Merah.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, aras air di tasik itu yang sebelum ini menurun hingga paras kritikal, kini sudah mencatatkan peningkatan berikutan hujan.

“Pesawah di Kerian tidak perlu bimbang masalah pengairan ke sawah mereka kerana aras air di Tasik Bukit Merah meningkat dan hari ini pada aras 7.46 meter berbanding 6.41 minggu lalu.

“Peningkatan aras air disebabkan hutan dan bekalan air ke sawah  untuk kompartmen A, B dan C di Kerian akan mengikut jadual yang asal tanpa ada penjadualan semula,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Perak yang dianjurkan Lajnah Perpaduan Nasional Perak bersama Pas Kawasan Parit Buntar di Taman Kerian Permai Parit Buntar dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

Menurut Razman, pengairan untuk penanaman padi bagi musim 1/2022 akan disalurkan kepada kompartmen A bermula pada 20 Febuari ini, melibatkan kawasan 1,365 hektar sawah dengan dua blok pengairan.

Menurutnya, selepas itu bekalan air akan disalurkan kepada kompartmen lain seperti kompartmen B dan C berkeluasan 7,695 hektar dengan sembilan blok pengairan.

“Pembenihan awan yang dirancang sebelum ini juga tidak akan dilakukan pada masa ini memandangkan aras air yang kian meningkat di Tasik Bukit Merah.

“Pesawah dan pengguna domestik tidak perlu lagi rasa bimbang mengenai keadaan aras air di tasik, ia mencukupi pada masa ini dan kita harap aras air ini akan kembali ke bacaan paras normalnya iaitu 8.69 meter,” katanya.

Sebelum ini, air Tasik Bukit Merah mencatat aras kritikal dengan bacaan 6.1 meter yang mungkin menjejaskan jadual penyaluran air ke sawah padi di Kerian seluas 19,200 hektar melibatkan 8,640 pesawah. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya