KUALA TERENGGANU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didakwa gunting dalam lipatan susulan kecenderungan melakukan provokasi terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini.
Ketua Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Yuslaini Azmi pelik dengan tindakan parti itu yang seolah-olah tidak ikhlas dalam membawa idea penyatuan di blok pembangkang.
Katanya, situasi itu ketara apabila Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman sengaja membidas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, S. Gopalakrishnan baru-baru ini.
“Semalam sekali lagi blok pembangkang bergaduh sejak Muda ditubuhkan dan ini bukan petanda baik buat barisan pembangkang jika berterusan berlaku.
“Keadilan berbesar hati menerima rakan strategik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tindakan Muda seperti gunting dalam lipatan.
“Jika Syed Saddiq mahu pembangkang bersatu, saya fikir kesilapan kecil seperti ini boleh dielak, malangnya sengaja diulang-ulang hingga menimbulkan rasa kurang senang akar umbi Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial hantaran bergambar dimuat naik Parti Muda Kedah yang menunjukkan empat lelaki memegang wang di samping logo keempat-empat parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PKR dan PH dengan kapsyen ‘jangan biarkan korupsi binasakan institusi negara’.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long tampil memohon maaf atas kekhilafan itu dan bersedia bertanggungjawab dengan apa-apa keputusan dan tindakan disiplin daripada parti di peringkat pusat.
Sehubungan itu, Yuslaini mencabar Syed Saddiq untuk menerima sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan Keadilan tanpa meminta kerusi majoriti milik parti itu. – UTUSAN