PETALING JAYA : Pelakon dan pelawak Shahrol Shiro mempersoalkan sebuah rancangan nyanyian kerana mengambil peserta yang tidak boleh menyanyi demi mengejar rating.
Menurutnya, formula itu kelak akan digunakan berulang kali sehingga usaha mengasah bakat berkualiti akan mati demi menaikkan rating masing-masing.
“Program komedi letak juri yang tidak tahu teknik membuat komedi. Kemarahan penonton mereka persetankan demi sesuap rating. Program nyanyian memasukkan peserta yang tak boleh nyanyi dan mereka tahu ia akan dikecam. Kemarahan penonton mereka persetankan demi sesuap rating.
“Risau program keagamaan dipanggilnya Sajat balik ke Malaysia bagi tazkirah demi sesuap rating jugak.
“Inilah formula yang akan digunakan berulang kali sehingga bakat yang sebenarnya berkualiti akan mati dek kerana mengejar rating. Percayalah negara luar sedang memperlekehkan industri seni kita dan sesungguhnya rating itu membunuh karya,” luah beliau menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa penggiat seni tanah air supaya segera bersuara terhadap tindakan tersebut.
“Buat penggiat seni Malaysia, jika diam itu bijak maka lakukanlah, tetapi kerana diam kamu diinjak maka bersuaralah agar kebenaran terdengar,” jelasnya.
Kelmarin, persembahan penyanyi dan usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli di sebuah rancangan nyanyian mencetuskan kritikan pelbagai pihak termasuk warganet yang mempertikaikan mutu nyanyian dalam program tersebut.
Kemunculan Iqbal itu ternyata bukan gimik, malah dia mengakui sudah dipelawa dan dipujuk berkali-kali oleh pihak berkenaan. -UTUSAN ONLINE