KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan di atas komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Seri Paduka bertitah, penghargaan itu bersandarkan kepada kejayaan melaksanakan inisiatif yang berteraskan prinsip menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat di Wilayah Persekutuan.
“Program pembangunan usahawan anak muda kota Wilayah Persekutuan berjaya memberi impak dalam meningkatkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan pasca pandemik Covid-19.
“Selain itu, bantuan kepada golongan miskin di 178 kawasan perumahan rendah dan sederhana di Kuala Lumpur telah membantu dalam meringankan kos hidup ditanggung golongan miskin bandar,” titah baginda.
Pada masa sama, Seri Paduka menghargai komitmen kerajaan dalam menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah sejahtera untuk didiami semua golongan menerusi inisiatif Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang membantu warga Wilayah Persekutuan dan golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.
Titah itu disampaikan sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat tersebut.
Istiadat itu menyaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mendahului senarai 263 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong.
Hasni, 63, dianugerahkan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama dan merupakan penerima tunggal Darjah Kebesaran Pangkat Pertama.
Penganugerahan tersebut merupakan suatu pengiktirafan kepada sumbangan besar Johor terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan dan peranan penting yang dimainkan oleh Hasni selaku Menteri Besar Johor ke-18 sejak dilantik pada 28 Feb 2020.
Beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang merancakkan pemulihan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, seramai 15 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri, antara penerimanya ialah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Hishamuddin Hashim dan Timbalan Panglima Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia, Left Jen Datuk Mohammad Ab. Rahman.
Turut dikurniakan ialah Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Mohd Nazri Md Shariff dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.
Dalam pada itu, seramai 59 individu dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Turut menerima anugerah itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid; atlet lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly; bekas atlet terjun negara, Leong Mun Yee dan penyanyi tanah air, Abdul Hail Amir.
Seramai 48 individu pula dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah, antaranya Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam dan atlet sukan paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.
Seramai 53 individu dianugerahkan Kesatria Mahkota Wilayah termasuklah atlet badminton regu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020, manakala 34 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah dan 53 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah. – UTUSAN










